Thursday, April 30, 2009




Assalamualaikum……
Salam ukhwah salam muhibbah
Buat teman dan pelayar blog ini

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan buat Dr Normaliza, pensyarah yang berdedikasi memberi tunjuk ajar dan mencurah ilmu kepada kami para pelajar. Di kesempatan ini saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada tutor Alia Roslan dan Farizi Jamaluddin yang bersungguh-sungguh mencurah bakti kepada kami.

Buat teman-teman seperjuangan , sekalung terima kasih, kita bersama-sama mengharungi suka duka, susah payah mengejar segunung harapan, menjunjung sebuah penghargaan. Insyallah segala pengorbanan kita akan mendapat ganjaran dari Nya. Dalam meniti keluh kesah mengejar ilmu, kekadang kita terlupa terlanjur patah bicara,mengudang segaris luka di hati. Kemaafan jua yang mampu ku lafazkan demi sebuah ukhwah yang hakiki.

Pastinya perjuangan kita belum selesai lagi,ranjau-ranjau perlu kita harungi lagi untuk ke puncak jaya..insyallah berkat doa dan usaha kita pasti ke puncak jaya…

Sudilah kiranya anda mencanai idea dan komentar yang ikhlas sebagai panduan dan garisan untuk saya membina laman blog yang lebih kreatif dan berinfomasi.
Selamat maju jaya
Habsah mohamed





Tentang Penulis

Saya seorang pendidik, mungkin juga seperti anda juga. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman. Seterusnya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan mengikuti tingkatan 6, di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu. Pengalaman suka dan duka terpahat indah dalam lipatan memory ketika zaman persekolahan. Sungguh indah dan tak mungkin berulang lagi..

Saya berasal dari keluarga yang menyara hidup dengan bercucuk tanam. Zaman kanak-kanak amat indah sukar dilupakan walaupun hidup serba kekurangan. Namun kedua orang tua tidak pernah mengabaikan pelajaran anak-anak mereka. Meraka sanggup bekerja keras menyara hidup, tidak pernah mengenal erti penat. Justeru itulah setiap waktu yang terluang, saya tidak akan sia-sia kan. Saya berusaha mengubah kehidupan, mencari pengalaman, bekerja sambilan dan belajar.

Setelah tamat tingkatan enam, saya mengikuti kursus perguruan di MPPM. Menjadi pendidik sememang menjadi cita-cita saya sejak kecil, menyampaikan sesuatu ilmu dan nasihat yang baik adalah perkara yang sangat mulia. Masih dalam ingatan saya teman-teman seperjuangan PA1 (A) seperti Ani fadilah, Haliza, Hamisah, Hasniza Ibrahim, Hasniza Zainuddin, Hamidah, Habibah, Naza, Erne, Ashiah, Wara, Munirah,Asmah, Asmahan,Ajar, Azma, Afizah, Mazmi, Khaimi, Maziah, Latifah,Rafidah, Sofiatun dan Fadiah Dina, kalian di mana waktu ini…Masih ingatkah lagi kalian, suatu ketika dahulu kita pernah bersama meniti detik mengukir kenangan.

Setelah tamat kursus perguruan saya mengajar di Kuala Lumpur. Kini setelah mencecah 12 tahun mengajar, saya berpeluang menyambung pelajaran di UPM. Sukar ku percaya tetapi itulah yang terjadi, setelah sekian lama menyimpan impian untuk ke menara gading. Itulah yang berlaku berkat kesabaran dan kesungguhan. Segala pengalaman suka duka dapat diterjemahkan sebagai sebuah kehidupan yang amat indah. Berkongsi pahit manis mencari dan meneroka kehidupan yang maha Luas..

Sebagai insan biasa seperti kalian, impian untuk membina keluarga yang bahagia tidak pernah terlepas daripada setiap hati manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Seperti orang lain juga, saya berimpian seperti itu, mempunyai keluarga yang saling lengkap melengkapi, mencukupkan kekurangan dan menghargai setiap pemberian. Kini saya memiliki tiga permata hati, saya terima seadanya sebagai anugerah. Bukan mudah untuk menerima kekurangan tetapi itulah yang harus disyukuri, nikmati kebahagiaan yang dianugerahi oleh Nya.


Hebatnya seorang manusia bukan diukur dengan banyaknya kemewahan yang dimiliki tetapi kehebatan akalnya mencerna ilmu dan diterjemahkan dengan amalan ke arah keredhaan Allah..
Sekian jumpa lagi….




Satu persinggahan

Di daerah ini
Aku mengenal erti sebuah kehidupan
Yang kudus penuh ranjau
Yang pedih membakar jasad
Yang perit memanah jantung
Yang ngilu merobek hati
Perjalanan mengutip segulung kehidupan
Yang ceria bersama pelangi
Pasrahku hanya padaMu
Tawakalku bersama secebis doa
Setitis air mata mengalir di daerah ini
Tiada yang lebih manis bersama mu
Selain mendakap sebutir kecemerlangan di sisi

Di daerah ini
Aku mengerti itu roda dunia
Berputar tanpa mengenal waktu
Tiada kawan tiada wang
Tiada cinta tiada harta
Siapakah teman dikala gembira
Siapakah pengubat dikala lara
Perjalanan hidup bersalut duri dan madu
Usah kau abai sebuah mimpi ngeri
Yang mengajar sesebuah kedewasaan
Yang mengulit hati wajamu
Aku mengenal itu permainan duniawi
Tiada seindah mimpi impian
Cuma hiasan lena semata
Di daerah ini aku pasrah
Siapa raja dihatiku
Siapa ratu dihatiku.

Sajak ini telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan penulisan kreatif sempena Hari Pendidikan Luar MPPM pada 1996 ketika penulis menuntut di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka..Kenangan terindah Terukir di persinggahan ini…..Buat teman-teman seperjuangan di MPPM.(94/97 D)






Rahsia Sebuah Pengorbanan


Bukan mengeluh, bukan juga menyesali sebuah takdir yang berirama mewarnai kehidupan. Tetapi inilah sebuah coretan yang mengajar hati menjadi lebih dewasa dalam meneruskan kelangsungan hidup untuk mencari jalan yang diredhai Nya. Pengalaman suka dan duka sentiasa silih berganti.

Bekerja , belajar dan dalam masa yang sama juga, perlu menguruskan kehidupan anak-anak dan keluarga. Bunyinya biasa sahaja, tetapi amat payah untuk aku lalui liku-liku ini dengan serba kekurangan. Keluar pagi, pulang tengahari, keluar lagi di senja dan pulang waktu malam sunyi. Anak – anak turut sama merasai apa yang berlaku. Keperluan dan perhatian untuk anak-anak yang masih kecil bagaikan terabai, lantaran kesibukan mengurus keperluan diri .

Lantaran itu, aku telah membuat keputusan untuk menghantar Maya dan Anan ke kampung. Di sana kehidupan mereka terurus dan terjaga. Walaupun, sukar untuk aku menghadapi perpisahan ini, namun aku tabahkan hati demi untuk kehidupan yang lebih baik. Baby sekecil Amar menjadi penawarku, teman yang setia, menunggu dan menghiburku di kala kerinduan pada Maya dan Anan. Di saat-saat sukar ini, terasa kesepian tanpa sesiapa yang mengerti , kerinduan pada tangisan dan tawa anak-anak amat menyeksakan. Amat pedih bagi mereka yang pernah melaluinya.

Dalam serba kekurangan ini, aku melangkahkan kaki untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan di menara gading. Bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi, tetapi bukan penghalang untuk kita membina kehidupan yang baik pada masa hadapan. Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya. Berbekalkan madah dan seruan itu, segala kesusahan dan kepayahan akan ku harungi hingga sampai ke titik noktah. Semangat juang yang sentiasa membakar diri, menjadi penawar di setiap liku kepayahan.

Bukan sedikit pengorbanan yang telah dipertaruhkan, wang ringgit, masa, hati dan perasaan turut menjadi korban demi menjana masa hadapan yang kamil. Dan yang paling sukar dilupakan ialah pengorbanan anak kecil yang terpaksa berpisah dengan ibunya. Pernah sama-sama mengharungi gelap malam setiap hari, mereka membesar dengan orang lain, menghabiskan sebahagian waktu di luar. Bukan sesuatu yang mudah untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tak mengerti tentang pengorbanan, tentang kepayahan dan tentang kasih sayang. Semua ini menjadi pengalaman terindah dan rahsia seorang wanita seperti aku...

Sekian catatan teristimewa buat anak-anakku…
Maya..Anan..Ammar...







Takdir dan waktu

Gelora lautan menghempas pantai
Terasa desis angin menyapa
Bak mutiara seputih salju
Rindu rembulan pada mentari
Tega bersua di malam sunyi
Sukar dimengertikan
Retak yang bertaut
Retak yang beralun
Menanti rebah diperjalanan waktu
Namun ku seru
Pada mu tuhan ku
Mungkinkah takdir waktu
Sukar dinyatakan
Namun ku berharap
Padamu kekasihku
Biarpun berkurun waktu berlalu
Biarpun jauh perjalanan ini
Aku sudah lama pasrah
Menerima takdir tuhan
Yang tertulis sejak azali…

Wednesday, April 29, 2009




Hannan Seindah Namamu

Kerdipan matamu sayu
Sesekali senyuman mu mekar
Walaupun tak seindah nama mu
Matamu sentiasa bergenang
Kolam jernih tumpah
Tiada waktu berlalu tanpa mu
Jiwaku tersentuh
Melihat keinginan mu
Yang tak terluah dengan bicara
Bagai tersemat satu rahsia
Yang ingin kau lontarkan
Tapi mungkinkah termakbul
Impianmu yang Satu
Mendengar sentuhan suara alam
Berdendang sepi dalam jiwa
Sejenak ku terkenangkan mu
Airmata lalu tertumpah
Mencari kedamaian yang azali


Sayangku,
Bukan suratan semalam ku pinta
Bukan doa memohon begitu
Bukan mahuku jua mahu mu
Bukan kudrat seorang manusia
Kejadianmu tak seindah pandangan mata
Tapi percayalah
Seribu rahmat untukmu pasti mengisi
Kekosongan yang diterima
Dengan penuh redhapasrah
Walaupun seribu bahasa kelubeku
Bukan kekurangan ukuran ilahi
Tapi iman dan taqwa
Penentu harga diri
Mencari keredhaan dengan hati yang murni
Menyuluh kehidupan dengan hidayah Nya
Syukurilah anugerah ilahi
Rahsia Allah tiada terperi
Tasbih dan tahmid
Maha suci Allah
Maha suci Allah
Hannan namamu dalam setiap doaku…


KONSEP DAN FUNGSI SASTERA

Pandangan Sarjana

• Ismail Hussein (1998:23)- kesusasteraan merangkumi semua aspek yang menggunakan kata-kata atau bahasa yang bersifat kreatif.
• M.K Danziger & W.S Jahnson (1983:2) – seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau tulisan.
• Abu Bakar Hamid (1997:13) – seni yang bercorak intlektual. Gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.

Fungsi Sastera

Didaktik / Propaganda

• Memberi pengetahuan dan pengalaman
• Mentafsir sesuatu perkara yang belum difahami.
• Menghidupkan daya imaginasi
• Menghidupkan semangat insprasi moral.

Menghibur

• Memberi kesenangan dan kerehatan minda- menyenangkan.
Ahmad Kotot (1975:xv) – Hikayat Percintaan Kasih Kemudahan (1927) – hendak memberi kesukaan kepada anak-anak muda bangsaku moga-moga tertarik untuk membaca.

Membebaskan Pembaca

• Interpretasi khalayak lambang-lambang yang digunakan oleh pengarang. Menjana minda.
• Tafsiran mudah diperoleh sekiranya pengalaman sama atau hampir sama dilalui. Terutama pengalaman yang menyedihkan.
• Sohaimi Abdul Aziz (2002:54) seorang pengarang adalah seorang penyelidik yang menggunakan sumber di persekitaran secara sebagai bahan dasarnya.
• Interpretasi khalayak lambang-lambang yang digunakan oleh pengarang. Menjana minda.
• Tafsiran mudah diperoleh sekiranya pengalaman sama atau hampir sama dilalui. Terutama pengalaman yang menyedihkan.
• Sohaimi Abdul Aziz (2002:54) seorang pengarang adalah seorang penyelidik yang menggunakan sumber di persekitaran secara sebagai bahan dasarnya.



Berkomunikasi Tentang Kebenaran

• Berkomunikasi dengan pembaca mengenai realiti alam sejagat- situasi umum manusia.
• Sastera harus mampu menyalurkan realiti tentang diri sendiri yang melibatkan penulis, pembaca atau persekitaran (Borges et.al, 1977:144).
• Sastera sebagai cermin diri.


Manifestasi Pemimpin dan Kepemimpinan

• Dalam zaman feudal – karya dihasilkan untuk golongan tertentu. Cth. Sejarah Melayu.
• Di Eropah “ada pengarang yang diupah oleh golongan bangsawan untuk tujuan memuji mereka. Mereka mempunyai kuasa politik” (Schucking;1950:15).
• Kassim Ahmad (1979:54)- Kesusasteraan alat untuk menyedarkan masyarakat. Penulis perlu menjadi peserta yang aktif kepada persekitaran tanpa ada rasa prajudis..”

Manifestasi Kehidupan

• Rene Wellek dan Austin Warren (1973:94)- sastera dapat memperlihatkan world-view sesebuah masyarakat.
• Sastera dapat mewakili kehidupan.
• Sastera tidak akan menjadi agung dan bermutu tinggi sekiranya tidak menjelajahi alam masy serta alam kehidupan manusia di dalamnya (W.H Hudson (1967:131).


Karya Sastera Dokumen Sosial

• Kesusasteraan mempunyai keistimewaan merakamkan dengan cukup setia ciri-ciri zaman, memelihara penggambaraan tentang tingkahlaku manusia.
• SM,H.Rj Pasai, HHT,HMM – gambaran institusi masyarakat Melayu tradisional.
• Kawan Benar, Iakah Salmah? Anak Mat Lela Gila – Gambaran masyarakat Melayu pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

Hubungan Sastera & Masyarakat

• Kedudukan sosial tertentu si penulis dan hubunganya dengan masyarakat.
• Sejauhmana sastera dapat mencerminkan masyarakat yang diwakilinya.
• Setakat mana nilai dalam sastera dapat mencerminkan nilai dalam masyarakat.
(Ian Watt;1964:3).