Thursday, April 30, 2009







Rahsia Sebuah Pengorbanan


Bukan mengeluh, bukan juga menyesali sebuah takdir yang berirama mewarnai kehidupan. Tetapi inilah sebuah coretan yang mengajar hati menjadi lebih dewasa dalam meneruskan kelangsungan hidup untuk mencari jalan yang diredhai Nya. Pengalaman suka dan duka sentiasa silih berganti.

Bekerja , belajar dan dalam masa yang sama juga, perlu menguruskan kehidupan anak-anak dan keluarga. Bunyinya biasa sahaja, tetapi amat payah untuk aku lalui liku-liku ini dengan serba kekurangan. Keluar pagi, pulang tengahari, keluar lagi di senja dan pulang waktu malam sunyi. Anak – anak turut sama merasai apa yang berlaku. Keperluan dan perhatian untuk anak-anak yang masih kecil bagaikan terabai, lantaran kesibukan mengurus keperluan diri .

Lantaran itu, aku telah membuat keputusan untuk menghantar Maya dan Anan ke kampung. Di sana kehidupan mereka terurus dan terjaga. Walaupun, sukar untuk aku menghadapi perpisahan ini, namun aku tabahkan hati demi untuk kehidupan yang lebih baik. Baby sekecil Amar menjadi penawarku, teman yang setia, menunggu dan menghiburku di kala kerinduan pada Maya dan Anan. Di saat-saat sukar ini, terasa kesepian tanpa sesiapa yang mengerti , kerinduan pada tangisan dan tawa anak-anak amat menyeksakan. Amat pedih bagi mereka yang pernah melaluinya.

Dalam serba kekurangan ini, aku melangkahkan kaki untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan di menara gading. Bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi, tetapi bukan penghalang untuk kita membina kehidupan yang baik pada masa hadapan. Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya. Berbekalkan madah dan seruan itu, segala kesusahan dan kepayahan akan ku harungi hingga sampai ke titik noktah. Semangat juang yang sentiasa membakar diri, menjadi penawar di setiap liku kepayahan.

Bukan sedikit pengorbanan yang telah dipertaruhkan, wang ringgit, masa, hati dan perasaan turut menjadi korban demi menjana masa hadapan yang kamil. Dan yang paling sukar dilupakan ialah pengorbanan anak kecil yang terpaksa berpisah dengan ibunya. Pernah sama-sama mengharungi gelap malam setiap hari, mereka membesar dengan orang lain, menghabiskan sebahagian waktu di luar. Bukan sesuatu yang mudah untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tak mengerti tentang pengorbanan, tentang kepayahan dan tentang kasih sayang. Semua ini menjadi pengalaman terindah dan rahsia seorang wanita seperti aku...

Sekian catatan teristimewa buat anak-anakku…
Maya..Anan..Ammar...

No comments:

Post a Comment