Saturday, October 17, 2009

Berakhirnya semester 6




Alhamdullilah,semester 6 dah berakhir. Pada semester ini saya terasa teramat letih dan sangat mencabar dengan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan juga paper yang dikuliahkan amat mencabar juga. Nak Katakan susah tak jugak sebab semuanya dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapka dan nak kata senang tak jgak, sebabnya bagai tak cukup tangan nak siapkan semuanya. Bahasa, kesusasteraan dan Teknologi Maklumat paling mencabar dan tugasan nya sentiasa ada jee. Bila satu dah siap, ingatkan dah habis..rupa-rupanya semester adah tamat ada lagi, Dr bagi.. ok lah tu sebab waktu ni dah tak da kerja pun. Lagipun cuma kerja komplin tak kisah..taip je lah. Kebanyakkan orang sangat suka dengan kerja komplin ni sebab bebas dan suka hati nak tulis apa.




Secara tulus ikhlas, saya mengakui saya amat berminat dengan paper yang ada kena mengena dengan TMK.Saya gembira mengadap komputer. Ikhlas juga saya akui saya sangat seronok dan enjoy dengan sesi pembelajaran yang dikuliahkan oleh DR walaupun adakalanya nampak DR masam je macam bad mood. Tapi semua itu tak memberi apa2 kesan kepada saya kerana saya amat meminati paper ni. Saya rasa amat dihormati sebagai pelajar dan diberi pengetahuan tentang cara mengembangkan bakat dan minat dalam penulisan sastera secara maya. Kelas Dr sangat seronok dan semua pelajar nampak ceria bila berkuliah dgn Dr, kerana dapat banyak cuti..




Walaupun begitu, seperkara yang saya rasa agak kecewa ialah sesuatu pengumuman yang diberi agak 'last minute' , contohnya penngumuman tentang 'cover' asgmt. saya dah siap awal-awal lagi tiba-tiba ada pembaharuan. Masalah ini sangat menyusahkan pelajar(saya lah ) sebab waktu2 terakhir itu, masa untuk ulangkaji dan persediaan untuk pperiksaan. Apa hal pun saya terpaksa jua buat yang termampu saja, berdasarkan arahan yanng dikeluarkan pada saat akhir itu.




Masalah kedua , saya rasa kerja yang diberikan oleh Dr tak banyak sangat kalau dibuat dalam kumpulan , tapi boleh dikatakan banyak kalau semuanya dalam bentuk individu. Maklumlah kita ni, pelajar malam jadi kalau semua kerja yg Dr bagi kena buat secara persendirian, memang tak terbuat rasanya. Pada pendapat saya , elok kalau kerja yang berat dan banyak ditugaskan dalam bentuk kumpulan, barulah kita orang tak tension sangat..Kalau tak siap semua ahli kumpulan tak dapat markah.. barulah setiap orang ada komitmen..




Akhir sekali, walaupun pahit dan sukar sekali pun kursus ni, semua ni sudah berakhir dan tinggal kenangan yang menyeronokkan. Pada permulaannya, bila dapat tajuk asgmt memang saya rasa amat sukar nak buat, tapi bila dah buat, rasa segala kesusahan dan kepenatan hilang.. Sebenarnya saya pun teringin nak jagi macam Dr...




Sebagai penutup bicara, ingin saya mohon maaf seadanya dan halalkan segala ilmu yg telah dicurahkan. Sekali lagi terima kasih di atas semua bakti dan ilmu yg dikongsi bersama..




buah cempedak diluar pagar


ambil galah tolong jolokkan


kami budak baru belajar


kalau salah tolong tunjukkan




ambil galah tolong jolokkan


jangan menimpa si pohon belimbing


kalau salah tolong tunjukkan


jangan dimarah mohon dibimbing.






Saturday, October 3, 2009

sesuci lebaran

meniti lebaran dengan penuh keinsafan
menadah doa kesyukuran kehadrat ilahi
mengurniakan kebahagiaan buat insan
yang menghambakan diri kepadanya

meniti sesuci lebaran
mengingatkan aku tentang sebuah kebahagiaan
memohon keampunan dari kedua ibubapa
sujud dan bermunajat kepada Nya
membersih hening dosa

sesuci lebaran yang berlalu
mengingatkan aku kepada mereka yang telah tiada
yang masih terpahat di sanubari
insan yang pernah menjadi tempat bermanja

sesuci lebaran kian meniti usia
meninggalkan sebuah kenangan
mencatat sebuah kebahagiaan
buat mereka yang menghargainya..

Tuesday, September 8, 2009

kenangan Ramadhan..

Sedar tak sedar dah masuk hari ke 18, kita menunaikan ibadat puasa. bila tiba ramadhan dengan tak semena-mena, aku terkenangkan kisah lalu yang mengusik hati. pernah suatu ketika dulu aku bekerja di Manjung dan tinggal dengan abang di Taman mas, Waktu tu aku sedang menunggu keputusan STPM. Siang bekerja, tak penat sangat..tapi bila bulan puasa..letihnya menjadi-jadi.bila tiba waktu berbuka makan hingga lupa diri..mulalah nak tunai solat terawih jadi liat je..tapi aku tak pernah pulak tak gi masjid dengan abang. pada satu hari di bulan ramadhan seperti biasa lepas je solat maghrib aku dan abang pergi ke masjid.naik motor sebab tak larat nak jalan kaki. lagi pun perut dah penuh mana larat lagi nak jalan..bila sampai je..kat masjid mata aku rasa mengantuk amat.nak buka pun tak boleh.waktu isyak dah masuk..tok imam dah mula masuk sof.aku ikut je lah walaupun mata buka sikit je..badan rasa melayang je..bila je imam beri salam aku terus undur setapak ke belakang..rebahkan badan kejap.rehat sebentar sebelum solat terawih.........selepas tu aku tak sedar apa-apa lagi sehinggalah aku mendengar bunyi enjin motor yang teramat kuat. aku terus buka mata...suasana gelap gelita..rupa-rupanya solat terawih sudah tamat.. jemaah wanita semuanya dah balik..mereka tinggalkan aku tidur sendirian..aku pun terus bla lah..malang sungguh aku..satu rakaat solat pun aku tak buat pada hari itu...

Monday, August 31, 2009

baby boy


Hari ini dah 10 hari umat islam mengerjakan ibadat puasa.maka 6 hari lagi, genaplah setahun usia baby boy yang lahir pada 16 ramadhan tahun lalu. ketika usia 10 bulan baby boy dah mula boleh berjalan walaupun badannya tembam. saya amat gembira sekali. secara tak lanngsung saya menjadi semakin gawat menjaganya. setiap inci ruang diterokainya, pantang kalau tak tutup pintu tandas, pintu dapur atau gril depan, kalau tak hilang sekelip mata, baby boy merayap kat luar.penat giler saya jadinya, ditambah pula dengan dua kakaknya yang sememangnya lasak. untuk menguruskan 3 anak kecil memang menyeronokkan tetapi perlu kesabaran untuk menghadapi kerenahnya yang bermacam-macam. kalau seorang mandi, semuanya hendak mandi,kalau buat susu mesti buat 3 botol sekali kalau tak, letih le... bila semuanya tidur, baru saya boleh siapkan kerja-kerja rumah..

Friday, August 14, 2009

suatu yang pasti


redup mentari meremang cahaya
sebuah penantian yang terleka
lupa dan alpa sifat manusia
menjadi sebuah ilusi semalam
apakah ada sinar baru
buat hamba yang terlena
menanti janiji yang pasti
kekadang terlupa
kekadang terbuai
dalam arus dunia
dalam gelora alam
menanti tak bertepi
menunggu dalam sepi
janji yang pasti dari Ilahi
tak pernah mungkir
pasti bertemu
tak terlewat walau seminit
tak tercepat walau sesaat
bila seruan datang bertamu
mengadap nya di alam Abadi

Wednesday, August 12, 2009

minggu pertama

Selamat bersua lagi.

Kali ini medan teknologi maklumat bergema lagi di bawah seliaan Dr Normaliza. Pastinya seribu pengetahuan dan maklumat baru bakal saya ceduk dan pelajari. Kursus ini menuntut seribu usaha dan kesungguhan kerana terdapat banyak kerja amali yang boleh dilakukan secara santai di rumah atau di mana-mana saja, asalkan anda mempunyai perkakasan dan teknologi selari dengan kehendak kursus. Secara peribadi saya mengemari kursus yang boleh dijalankan secara santai dan peribadi di rumah atau di mana-mana, bila-bila masa saja, kerana kita tidak perlu keluar rumah atau perpustakaan untuk mencari rujukan atau bahan, lebih-lebih lagi situasi sekarang yang tidak menggalakkan kita kerap ke tempat awam melainkan perlu sahaja.
Di samping itu, kita dapat menjalankan aktiviti tersebut bersama keluarga mengikut kemahuan kita sendiri. Namun terdapat juga beberapa kekangan dan masalah yang timbul terutamanya hal seperti yang saya alami. Antaranya ialah ketiadaan perkhidmatan internet di rumah. Hal ini sangat rumit dan menjadi halangan yang utama kepada saya untuk mengakses serta menyiapkan tugasan yang diberikan. Jadi untuk memenuhi tuntutan tugasan kursus, tidak dapat tidak saya terpaksa ke siber kafe untuk melengkapkan tugasan.
Sehubungan itu, saya perlu memberi ruang masa yang selesa untuk berkujung ke siber kafe, memperuntukkan kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan tambahan di samping perbelanjaan lain. Apa pun alasan yang diberikan, saya tidak berputus asa untuk memenuhi segala kehendak dan tuntutan tugasan. Namun begitu, alhamdulilah rakan dan taulan saya sedia memberi bantuan dan khidmat untuk memudahkan urusan dan kerja saya. Bagi mereka yang mempunyai kemudahan ini pastinya tidak menjadi masalah cuma, bertitik tolak dari dalam diri sendiri, sama ada mahu atau tidak itu saja. Walaupun begitu, saya pastinya akan berusaha dan cuba buat yang terbaik untuk mencapai tahap yang dapat menepati kehendak kursus ini.
Sekian terima kasih, pastinya kita bersua lagi..

Thursday, April 30, 2009




Assalamualaikum……
Salam ukhwah salam muhibbah
Buat teman dan pelayar blog ini

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan buat Dr Normaliza, pensyarah yang berdedikasi memberi tunjuk ajar dan mencurah ilmu kepada kami para pelajar. Di kesempatan ini saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada tutor Alia Roslan dan Farizi Jamaluddin yang bersungguh-sungguh mencurah bakti kepada kami.

Buat teman-teman seperjuangan , sekalung terima kasih, kita bersama-sama mengharungi suka duka, susah payah mengejar segunung harapan, menjunjung sebuah penghargaan. Insyallah segala pengorbanan kita akan mendapat ganjaran dari Nya. Dalam meniti keluh kesah mengejar ilmu, kekadang kita terlupa terlanjur patah bicara,mengudang segaris luka di hati. Kemaafan jua yang mampu ku lafazkan demi sebuah ukhwah yang hakiki.

Pastinya perjuangan kita belum selesai lagi,ranjau-ranjau perlu kita harungi lagi untuk ke puncak jaya..insyallah berkat doa dan usaha kita pasti ke puncak jaya…

Sudilah kiranya anda mencanai idea dan komentar yang ikhlas sebagai panduan dan garisan untuk saya membina laman blog yang lebih kreatif dan berinfomasi.
Selamat maju jaya
Habsah mohamed





Tentang Penulis

Saya seorang pendidik, mungkin juga seperti anda juga. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman. Seterusnya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan mengikuti tingkatan 6, di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu. Pengalaman suka dan duka terpahat indah dalam lipatan memory ketika zaman persekolahan. Sungguh indah dan tak mungkin berulang lagi..

Saya berasal dari keluarga yang menyara hidup dengan bercucuk tanam. Zaman kanak-kanak amat indah sukar dilupakan walaupun hidup serba kekurangan. Namun kedua orang tua tidak pernah mengabaikan pelajaran anak-anak mereka. Meraka sanggup bekerja keras menyara hidup, tidak pernah mengenal erti penat. Justeru itulah setiap waktu yang terluang, saya tidak akan sia-sia kan. Saya berusaha mengubah kehidupan, mencari pengalaman, bekerja sambilan dan belajar.

Setelah tamat tingkatan enam, saya mengikuti kursus perguruan di MPPM. Menjadi pendidik sememang menjadi cita-cita saya sejak kecil, menyampaikan sesuatu ilmu dan nasihat yang baik adalah perkara yang sangat mulia. Masih dalam ingatan saya teman-teman seperjuangan PA1 (A) seperti Ani fadilah, Haliza, Hamisah, Hasniza Ibrahim, Hasniza Zainuddin, Hamidah, Habibah, Naza, Erne, Ashiah, Wara, Munirah,Asmah, Asmahan,Ajar, Azma, Afizah, Mazmi, Khaimi, Maziah, Latifah,Rafidah, Sofiatun dan Fadiah Dina, kalian di mana waktu ini…Masih ingatkah lagi kalian, suatu ketika dahulu kita pernah bersama meniti detik mengukir kenangan.

Setelah tamat kursus perguruan saya mengajar di Kuala Lumpur. Kini setelah mencecah 12 tahun mengajar, saya berpeluang menyambung pelajaran di UPM. Sukar ku percaya tetapi itulah yang terjadi, setelah sekian lama menyimpan impian untuk ke menara gading. Itulah yang berlaku berkat kesabaran dan kesungguhan. Segala pengalaman suka duka dapat diterjemahkan sebagai sebuah kehidupan yang amat indah. Berkongsi pahit manis mencari dan meneroka kehidupan yang maha Luas..

Sebagai insan biasa seperti kalian, impian untuk membina keluarga yang bahagia tidak pernah terlepas daripada setiap hati manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Seperti orang lain juga, saya berimpian seperti itu, mempunyai keluarga yang saling lengkap melengkapi, mencukupkan kekurangan dan menghargai setiap pemberian. Kini saya memiliki tiga permata hati, saya terima seadanya sebagai anugerah. Bukan mudah untuk menerima kekurangan tetapi itulah yang harus disyukuri, nikmati kebahagiaan yang dianugerahi oleh Nya.


Hebatnya seorang manusia bukan diukur dengan banyaknya kemewahan yang dimiliki tetapi kehebatan akalnya mencerna ilmu dan diterjemahkan dengan amalan ke arah keredhaan Allah..
Sekian jumpa lagi….




Satu persinggahan

Di daerah ini
Aku mengenal erti sebuah kehidupan
Yang kudus penuh ranjau
Yang pedih membakar jasad
Yang perit memanah jantung
Yang ngilu merobek hati
Perjalanan mengutip segulung kehidupan
Yang ceria bersama pelangi
Pasrahku hanya padaMu
Tawakalku bersama secebis doa
Setitis air mata mengalir di daerah ini
Tiada yang lebih manis bersama mu
Selain mendakap sebutir kecemerlangan di sisi

Di daerah ini
Aku mengerti itu roda dunia
Berputar tanpa mengenal waktu
Tiada kawan tiada wang
Tiada cinta tiada harta
Siapakah teman dikala gembira
Siapakah pengubat dikala lara
Perjalanan hidup bersalut duri dan madu
Usah kau abai sebuah mimpi ngeri
Yang mengajar sesebuah kedewasaan
Yang mengulit hati wajamu
Aku mengenal itu permainan duniawi
Tiada seindah mimpi impian
Cuma hiasan lena semata
Di daerah ini aku pasrah
Siapa raja dihatiku
Siapa ratu dihatiku.

Sajak ini telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan penulisan kreatif sempena Hari Pendidikan Luar MPPM pada 1996 ketika penulis menuntut di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka..Kenangan terindah Terukir di persinggahan ini…..Buat teman-teman seperjuangan di MPPM.(94/97 D)






Rahsia Sebuah Pengorbanan


Bukan mengeluh, bukan juga menyesali sebuah takdir yang berirama mewarnai kehidupan. Tetapi inilah sebuah coretan yang mengajar hati menjadi lebih dewasa dalam meneruskan kelangsungan hidup untuk mencari jalan yang diredhai Nya. Pengalaman suka dan duka sentiasa silih berganti.

Bekerja , belajar dan dalam masa yang sama juga, perlu menguruskan kehidupan anak-anak dan keluarga. Bunyinya biasa sahaja, tetapi amat payah untuk aku lalui liku-liku ini dengan serba kekurangan. Keluar pagi, pulang tengahari, keluar lagi di senja dan pulang waktu malam sunyi. Anak – anak turut sama merasai apa yang berlaku. Keperluan dan perhatian untuk anak-anak yang masih kecil bagaikan terabai, lantaran kesibukan mengurus keperluan diri .

Lantaran itu, aku telah membuat keputusan untuk menghantar Maya dan Anan ke kampung. Di sana kehidupan mereka terurus dan terjaga. Walaupun, sukar untuk aku menghadapi perpisahan ini, namun aku tabahkan hati demi untuk kehidupan yang lebih baik. Baby sekecil Amar menjadi penawarku, teman yang setia, menunggu dan menghiburku di kala kerinduan pada Maya dan Anan. Di saat-saat sukar ini, terasa kesepian tanpa sesiapa yang mengerti , kerinduan pada tangisan dan tawa anak-anak amat menyeksakan. Amat pedih bagi mereka yang pernah melaluinya.

Dalam serba kekurangan ini, aku melangkahkan kaki untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan di menara gading. Bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi, tetapi bukan penghalang untuk kita membina kehidupan yang baik pada masa hadapan. Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya. Berbekalkan madah dan seruan itu, segala kesusahan dan kepayahan akan ku harungi hingga sampai ke titik noktah. Semangat juang yang sentiasa membakar diri, menjadi penawar di setiap liku kepayahan.

Bukan sedikit pengorbanan yang telah dipertaruhkan, wang ringgit, masa, hati dan perasaan turut menjadi korban demi menjana masa hadapan yang kamil. Dan yang paling sukar dilupakan ialah pengorbanan anak kecil yang terpaksa berpisah dengan ibunya. Pernah sama-sama mengharungi gelap malam setiap hari, mereka membesar dengan orang lain, menghabiskan sebahagian waktu di luar. Bukan sesuatu yang mudah untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tak mengerti tentang pengorbanan, tentang kepayahan dan tentang kasih sayang. Semua ini menjadi pengalaman terindah dan rahsia seorang wanita seperti aku...

Sekian catatan teristimewa buat anak-anakku…
Maya..Anan..Ammar...







Takdir dan waktu

Gelora lautan menghempas pantai
Terasa desis angin menyapa
Bak mutiara seputih salju
Rindu rembulan pada mentari
Tega bersua di malam sunyi
Sukar dimengertikan
Retak yang bertaut
Retak yang beralun
Menanti rebah diperjalanan waktu
Namun ku seru
Pada mu tuhan ku
Mungkinkah takdir waktu
Sukar dinyatakan
Namun ku berharap
Padamu kekasihku
Biarpun berkurun waktu berlalu
Biarpun jauh perjalanan ini
Aku sudah lama pasrah
Menerima takdir tuhan
Yang tertulis sejak azali…

Wednesday, April 29, 2009




Hannan Seindah Namamu

Kerdipan matamu sayu
Sesekali senyuman mu mekar
Walaupun tak seindah nama mu
Matamu sentiasa bergenang
Kolam jernih tumpah
Tiada waktu berlalu tanpa mu
Jiwaku tersentuh
Melihat keinginan mu
Yang tak terluah dengan bicara
Bagai tersemat satu rahsia
Yang ingin kau lontarkan
Tapi mungkinkah termakbul
Impianmu yang Satu
Mendengar sentuhan suara alam
Berdendang sepi dalam jiwa
Sejenak ku terkenangkan mu
Airmata lalu tertumpah
Mencari kedamaian yang azali


Sayangku,
Bukan suratan semalam ku pinta
Bukan doa memohon begitu
Bukan mahuku jua mahu mu
Bukan kudrat seorang manusia
Kejadianmu tak seindah pandangan mata
Tapi percayalah
Seribu rahmat untukmu pasti mengisi
Kekosongan yang diterima
Dengan penuh redhapasrah
Walaupun seribu bahasa kelubeku
Bukan kekurangan ukuran ilahi
Tapi iman dan taqwa
Penentu harga diri
Mencari keredhaan dengan hati yang murni
Menyuluh kehidupan dengan hidayah Nya
Syukurilah anugerah ilahi
Rahsia Allah tiada terperi
Tasbih dan tahmid
Maha suci Allah
Maha suci Allah
Hannan namamu dalam setiap doaku…


KONSEP DAN FUNGSI SASTERA

Pandangan Sarjana

• Ismail Hussein (1998:23)- kesusasteraan merangkumi semua aspek yang menggunakan kata-kata atau bahasa yang bersifat kreatif.
• M.K Danziger & W.S Jahnson (1983:2) – seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau tulisan.
• Abu Bakar Hamid (1997:13) – seni yang bercorak intlektual. Gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.

Fungsi Sastera

Didaktik / Propaganda

• Memberi pengetahuan dan pengalaman
• Mentafsir sesuatu perkara yang belum difahami.
• Menghidupkan daya imaginasi
• Menghidupkan semangat insprasi moral.

Menghibur

• Memberi kesenangan dan kerehatan minda- menyenangkan.
Ahmad Kotot (1975:xv) – Hikayat Percintaan Kasih Kemudahan (1927) – hendak memberi kesukaan kepada anak-anak muda bangsaku moga-moga tertarik untuk membaca.

Membebaskan Pembaca

• Interpretasi khalayak lambang-lambang yang digunakan oleh pengarang. Menjana minda.
• Tafsiran mudah diperoleh sekiranya pengalaman sama atau hampir sama dilalui. Terutama pengalaman yang menyedihkan.
• Sohaimi Abdul Aziz (2002:54) seorang pengarang adalah seorang penyelidik yang menggunakan sumber di persekitaran secara sebagai bahan dasarnya.
• Interpretasi khalayak lambang-lambang yang digunakan oleh pengarang. Menjana minda.
• Tafsiran mudah diperoleh sekiranya pengalaman sama atau hampir sama dilalui. Terutama pengalaman yang menyedihkan.
• Sohaimi Abdul Aziz (2002:54) seorang pengarang adalah seorang penyelidik yang menggunakan sumber di persekitaran secara sebagai bahan dasarnya.



Berkomunikasi Tentang Kebenaran

• Berkomunikasi dengan pembaca mengenai realiti alam sejagat- situasi umum manusia.
• Sastera harus mampu menyalurkan realiti tentang diri sendiri yang melibatkan penulis, pembaca atau persekitaran (Borges et.al, 1977:144).
• Sastera sebagai cermin diri.


Manifestasi Pemimpin dan Kepemimpinan

• Dalam zaman feudal – karya dihasilkan untuk golongan tertentu. Cth. Sejarah Melayu.
• Di Eropah “ada pengarang yang diupah oleh golongan bangsawan untuk tujuan memuji mereka. Mereka mempunyai kuasa politik” (Schucking;1950:15).
• Kassim Ahmad (1979:54)- Kesusasteraan alat untuk menyedarkan masyarakat. Penulis perlu menjadi peserta yang aktif kepada persekitaran tanpa ada rasa prajudis..”

Manifestasi Kehidupan

• Rene Wellek dan Austin Warren (1973:94)- sastera dapat memperlihatkan world-view sesebuah masyarakat.
• Sastera dapat mewakili kehidupan.
• Sastera tidak akan menjadi agung dan bermutu tinggi sekiranya tidak menjelajahi alam masy serta alam kehidupan manusia di dalamnya (W.H Hudson (1967:131).


Karya Sastera Dokumen Sosial

• Kesusasteraan mempunyai keistimewaan merakamkan dengan cukup setia ciri-ciri zaman, memelihara penggambaraan tentang tingkahlaku manusia.
• SM,H.Rj Pasai, HHT,HMM – gambaran institusi masyarakat Melayu tradisional.
• Kawan Benar, Iakah Salmah? Anak Mat Lela Gila – Gambaran masyarakat Melayu pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

Hubungan Sastera & Masyarakat

• Kedudukan sosial tertentu si penulis dan hubunganya dengan masyarakat.
• Sejauhmana sastera dapat mencerminkan masyarakat yang diwakilinya.
• Setakat mana nilai dalam sastera dapat mencerminkan nilai dalam masyarakat.
(Ian Watt;1964:3).

Friday, April 17, 2009

SASTERA ZAMAN PERALIHAN

Sastera Zaman Peralihan

• Sastera Zaman Peralihan iaitu peralihan pengaruh Hindu-Islam dalam karya-karya sastera.
• Perubahan pradigma masyarakat yang melihat unsur atau pemikiran Hindu yang yang
termuat dalam karya-karya sasteranya diubahsuai mengikut cita rasa dan nilai-nilai Islam.
• Unsur-unsur Hindu yang bertentangan dengan akidah Islam dimurnikan agar roh keislaman
dapat dijelmakan.
• Contohnya; Dalam Hikayat Ganjamara yang bercorak Hindu, telah diberikan wajah Islam -
berperanan sebagai mubaligh sehingga berjaya mengislamkan beberapa orang raja Hindu.
• Antara karya Hindu yang disadurkan dengan ciri-ciri keislaman ialah Hikayat Si Miskin,
Hikayat Marakarma, Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat Inderajaya.
Sastera Berunsur Islam

• Kedatangan Islam ke TM sejak abad ke 13 M mempengaruhi corak dan pemikiran masyarakat setempat yang bersifat tradisional.
• Pengaruh Hindu mulai lemah dan cara hidup Islam meresap dalam jiwa masyarakat.
• Amalan dan budaya Islam diterima tambahan pula sekitar abad ke-16 alam Melayu menerima Islam secara mutlak.
• Penguasaan Islam dalam budaya dan amalan mempengaruhi dunia kesusasteraan.
Pengaruh Islam meresap dalam kesusasteraan
• Ismail Hamid mengkategorikan sastera Melayu berpengaruh Islam kepada lima kelompok iaitu
– Hikayat tentang Nabi Muhammad contohnya Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nur Muhammad dan Hikayat Bulan Berbelah.
– Kisah-Kisah Nabi seperti Kisah Raja Sulaiman, Kisah Nabi Musa, Kisah Puteri Balkis dan Kisah Nabi Yusof.
– Hikayat Para Sahabat contoh karyanya Hikayat Hasan dan Husin, Hikayat Tamin al-Dari, Hikayat Abu Bakar dan Hikayat Abu Samah.
– Hikayat Pahlawan Islam iaitu Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Hikayat Malik Saiful Lizan.
– Hikayat Orang Alim iaitu seperti Hikayat Lukman al-Hakim, Hikayat Abu Yazid al-Bistami, Hikayat Raja Jumjumah dan Hikayat Ibrahim Adham.
Sastera Panji

• Karya Panji berkisar tentang pengembaraan, percintaan watak-watak utama.
• Karya berbentuk hikayat. Panji merupakan gelaran untuk golongan bangsawan dan berkedudukan tinggi yang digunakan dalam masyarakat Jawa.
• Gelaran ini digunakan oleh anak-anak raja yang menjadi watak utama dalam cerita panji.
• Cerita panji berpunca daripada rasa bosan masyarakat Jawa terhadap karya-karya yang berunsur Hindu-Buddha.
• Walaupun pengaruhan unsur tersebut masih ada dalam karya panji tetapi bukan sebagai unsur yang dominan.
• Unsur yang masih dapat dikesan dalam cerita-cerita panji tersebut misalnya pertapaan, dewa-dewi dan mitos.
• Antara karya panji yang terkenal misalnya Hikayat Panji Semirang, Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma, Hikayat Dewa Asmara Jaya dan Hikayat Chekel Waneng Pati.
Sastera Sejarah

• Fakta-fakta sejarah yang bersifat dokumen dengan bentuk pemaparan yang tertentu masih dikategorikan sebagai hasil kesusasteraan.
• Fakta-fakta sejarah yang dirujuk berdasarkan ukur nilai masyarakat yang diwakilinya. Tujuan untuk mengangkat jati diri masyarakat itu sendiri.
• Walaupun begitu, ada ketikanya dapat dikesan fakta-fakta yang diragui kesahihannya.
• Hal ini berlaku kerana kesan daripada pemaparan yang bertumpang tindih dengan unsur mitos dan lagenda.
• Unsur tersebut dimasukkan bertujuan untuk meningkatkan martabat watak, peristiwa dan fokus cerita.
• Kisah-kisah yang terpapar dalam sastera sejarah ialah berkaitan dengan asal usul keluarga diraja, pembukaan sesebuah negeri atau kerajaan dan peristiwa penting sezaman.
• Antara karya-karya sastera yang tergolong dalam sastera sejarah ialah Sejarah Melayu, Hikayat Aceh, Misa Melayu, Hikayat Johor, Hikayat Pahang dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Sastera Ketatanegaraan

• Kedatangan Islam turut mempengaruhi corak dan sistem pemerintahan kerajaan Melayu.
• Konsep dakwah yang digunakan oleh para mubaligh untuk menyebar dan mengembangkan Islam diterima baik oleh masyarakat setempat.
• Hal ini terbukti dalam tempoh yang singkat Islam diterima secara meluas iaitu dari istana hinggalah ke golongan bawahan.
• Perubahan pentadbiran juga disesuaikan dengan tuntutan Islam. Kitab-kitab ini dijadikan sebagai panduan dalam sistem pemerintahan dan mentadbir negeri.
• Kitab-kitab ini dikategorikan sebagai sastera kenegaraan.
• Antara kitab-kitab yang menjadi sumber rujukan oleh golongan raja-raja untuk mentabir
• Taj al-Salatin atau Mahkota Raja-Raja yang ditulis oleh Bukhari al-Jauhari
• Bustan al-Salatin atau Taman Raja-Raja karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri.
Sastera Undang-Undang

• Sastera undang-undang juga muncul setelah pengaruh Islam kuat dalam kerajaan di alam Melayu.
• Kitab undang-undang tercipta untuk digunakan sebagai satu bentuk perlambagaan yang meliputi semua peringkat masyarakat dari istana hinggalah rakyat jelata.
• Ia berkaitan dengan perkara-perkara seperti kuasa raja dan pembesar, undang-undang pentadbiran negara, undang-undang jenayah, undang-undang awam.
Sastera Saduran Arab / Parsi

• Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa bersama khazanah kesusasteraan Timur Tengah khususnya dari Arab dan Parsi.
• Penulis-penulis Melayu yang mendapat pendidikan Islam dan mahir berbahasa Arab telah memperbanyak karya sastera.
• Dilakukan dengan menterjemah dan menyadur karya-karya popular Arab dan Parsi dalam bahasa Melayu.
• Cerita-cerita saduran yang bercorak jenaka dan cerita-cerita roman tentang raja-raja dan golongan bangsawan.
• Dimuatkan unsur didaktik untuk memberi input baru kepada masyarakat Melayu khususnya berkaitan dengan budaya dan nilai masyarakat di Timur Tengah.
• Antara karya-karya saduran yang diminati oleh masyarakat setempat ialah Hikayat Umar Umaiyah, Hikayat Abu Nawas, Hikayat Gul Bakawali dan Hikayat Qamar al-Zaman.

Sastera Melayu Tradisional

Jenis dan Bentuk Sastera Melayu Tradisional

• Bentuk prosa dapat dikategorikan kepada dua :
• Prosa tradisional / klasik
• Prosa moden.

Prosa tradisional / Klasik

• Terdapat tiga istilah yang saling berhubungan iaitu tradisional, lama dan klasik.
• Istilah lama merujuk kepada zaman atau masa yakni karya yang terhasil sebelum 1800 M.
• Istilah klasik merujuk kepada nilai, mutu dan kepopularannya dalam satu-satu zaman.
• tradisi - merujuk kepada sesuatu yang telah diwarisi secara turun temurun, diakui dan direstui oleh masyarakat pendukungnya.
Ciri-Ciri Karya Tradisional

• Bersifat kolektif, milik bersama masyarakat kedaerahan yakni tidak dinyatakan nama penulis atau pengarang.
• Hasil prosa yang bersifat feudal terutama dalam aspek pemilihan tema, watak dan latar.

• Prosa terbatas pencipta dan khalayaknya kerana hanya golongan tertentu sahaja yang terlibat aktif

• Hasil prosa yang merujuk kepada karya-karya yang dihasilkan sebelum tahun 1800M

• Bersifat fungsional; dicipta untuk digunakan dalam kehidupan masyarakat sehari-hari

• Menggunakan gaya bahasa dan langgam bahasa yang berbeza

• Hasil karya mempunyai nilai tersendiri kepada masyarakat yang mewarisinya, dipandang tinggi sehingga kadang-kadang hasil karya tersebut dianggap keramat dan suci

• Bentuk dan cirinya menjadi tradisi yang mantap dengan mempamerkan nilai-nilai klasik

• Persoalan yang dibawakan dalam karya tersebut menunjukkan penguasaan temanya, gaya teknik persembahan yang sederhana, agak seragam, tepat dan mempunyai struktur yang formal dan terikat.

Sastera Rakyat

• SR sastera bercorak lisan.
• Disampaikan generasi ke generasi tanpa pengarangnya.
• SR milik masyarakat atau kelompok sesuatu masyarakat yang tertutup sifatnya.Tidak menguasai atau mengenal huruf atau tulisan.
• Jenis SR yang dapat dikesan iaitu:
• Cerita asal usul
• Cerita Metos
• Cerita Lagenda
• Cerita Hantu
• Cerita Binatang
• Cerita Jenaka
• Cerita Penglipur Lara.
Sastera Pengaruh Hindu

• Terhasil kesan daripada pengaruh dua epik Hindu Ramayana dan Mahabhrata yang menampil cerita-cerita kepahlawanan.

• Ramayana dihasilkan oleh Valmiki menggunakan bahasa Sanskrit yang membawa tema perjuangan, moral, kebebasan dan hak politik serta kepercayaan.

• Epik ini kemudiannya diedit oleh WG Shellabear dengan judul Hikayat Seri Rama pada keseluruhan ceritanya jauh menyimpang daripada tek asalnya.

• Kitab Mahabharata dipercayai dihasilkan oleh Bhagawan Vyasa berbentuk seloka yang merupakan kitab suci agama Hindu.

• Kisah yang terpapar ialah mengenai peperangan antara dua golongan iaitu Pandawa dan Korawa.

• Kesan daripada kisah Mahabbrata itu maka terhasilnya hikayat-hikayat Melayu antara Hikayat Pendawa Lebur, Hikayat Pendawa Lima dan Hikayat Sang Boma yang bersumberkan kitab Hindu.

bicara hati




Rindu hati ini
Bila terkenang seri rembulan
Mengambang ditengah dingin malam
Sunyisepi menyudu kamar hati
Kelam dan kabut serangkai mawar
Pasrah dan sujudku pada Mu ilahi
Mengadu resah bersarang di jiwa
Ya illahi
Inikah kehidupan ku
Bukan ku mengeluh
Bukan sesekali ku kesali
Bukan terniat menolak qadar Mu
Kerana aku masih menunggu
Kerana aku masih menjunjung amanah Mu
Kerana aku mengerti

Disebalik kesusahan ada kesenangan
Disebalik kedukaan ada kegembiraan
Disebalik kesulitan ada kemudahan
Disebalik tangisan ada senyuman
Pasti menunggu disebalik kesabaran

Menanti Di Hujung sendu


Menanti Di Hujung Sendu
Senyuman mu bak lukisan
Renungan mu redup
Bicara mu petah
Anak kecil yang sedang mengenal alam
Hidupmu tercalar dalam tawa
Terbiar sepi
Terluka dihujung mimpi
Walaupun kau tak mengerti apa-apa
Namun jauh disudut hatimu
Tersimpan kedukaan
Terselit suatu kerinduan
Yang tidak bisa dihuraikan dengan ayat-ayat
Yang terpendam dalam kalbu hati mu
Resah dan gelisah menyeru sesuatu
Yang menyayat hati
Hati yang mendengar
Mengapa hatiku kelu
Mendengar rintihanmu
Entah bagaimana
Dapat kukatakan padamu
Tentang sebuah kehidupan
Tentang suatu kasih sayang
Yang bakal mengisi kamar hidup mu
Sekali-sekala kau beremosi
Melepaskan segala yang terbuku
Kerana kau terasa terbuang dan tersisih
Tempat bermanja semakin kelam
Di celah-celah rumput kehidupan
Mengitari suramnya kamar hati mu

Sayangku,
Moga kau tahu
Kasih sayang tidak pernah mati
Walau seribu tahun bumi beredar
Sejak Adam dan Hawa dicipta
Kasih sayang tetap utuh
Mengitari setiap hati insan.
Tabahkan hatimu menyusuri
Perjalanan waktu berliku
Kuatkan jiwa mu dengan iman
Biarkan dugaan datang dan pergi
Usah kau kecewa dengan takdir yang tersurat
Kerana kebahagiaan milik tuhan
Menjadi anugerah buat insan
Yang pasrahredha ketentuan Nya
Rahmat Nya tidak pernah padam
Kudus Nya bagai disirami embun
Luhur suci menyelubungi alam.

konsep sastera

Bahasa Sanskrit iaitu “castra” dan disebut “syastra” membawa erti kitab suci.
•Satu bidang seni kreatif
•Kesusasteraan -kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah (Ali Ahmad; 1994:4).


•Sastera merupakan menifestasi penulisnya.
•Fenomena dan persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam karya sastera merupakan realiti kehidupan masyarakatnya (Usman Awang:1987).
•“sastera sebagai cerminan masyarakat” - refleksi kehidupan sebenar manusia atau fenomena sekitarnya yang diterjemahkan secara halus dan berhemah oleh penulisnya.

•Mengungkapkan unsur akaliah – ilmu indah sifatnya.
•Sesuatu hasil sastera merupakan perutusan, amanat, serta lontaran idea penulis untuk dikongsi bersama oleh khalayak pembacanya.


•Gabungan daya rasa (sensori) atau sensitiviti .
•Karya sastera berhasil meninggalkan kesan perasaan kepada khalayaknya.
•Mewujudkan pelbagai rasa ;rasa simpati, benci, marah atau geram terhadap fenomena yang dipaparkan.